Hadilla
di selubungi bingung. Pagi yang muda pada hari itu ditempohnya dengan
wajah nan suram. Nalurinya berselubung kelam yang dalam. Sekitar ruang
pejabat yang terkaku dalam empat tembok konkrit padu itu seakan
melemaskan dirinya dalam diam. Ruang yang menjadi kebanggaan pada
dirinya selama ini. Lambang gemilang dalam kerjaya.
“Ada
apa-apa yang Puan nak saya sediakan pagi ini?”. Wajah tua setiausahanya
menyembul dari balik pintu gagah ruang kamar pejabatnya. Seakan
berkerut keraguan melihatkan dia hadir di pejabat dengan sikap tidak
acuh dan berhias wajah yang tidak beres. Tidak memberi salam kepada
mereka seperti selalu.
“Tak ada apa-apa lah kak Maznah. Cuma saya nak bersendirian rasanya hari ini. Tunda semua appointment
saya ya!”. Hambar suara hadilla menjenguk rasa. Dan setiausaha yang
setia berbelas tahun itu pun berlalu setelah meletakkan fail-fail
urusan, secawan kopi serta sebotol air mineral di atas meja kerja di
hadapannya.
Kamar
itu kembali sunyi. Hadilla menyibak tirai langsir berwarna biru laut
yang menutupi jendela kaca di sepanjang sudut kanan kamar. Cahaya
matahari yang muda menjingga menumpah masuk ke seluruh sudut dalam
ruang. Seakan memberi nafas pada kelam suasana. Hadilla merebahkan tubuh
dalam paduan kerusi empok bersadur baldu kelabu di hadapan meja kerja.
Matanya mengawang ke sekitar ruang bilik yang luas itu, seraya melayan
fikiran yang tak menentu.
Bilik
itu tersusun indah dengan perabut yang mewah memenuhi citarasa
korporat. Terletak meja ruang kerja beserta kerusi bergaya senada di
sudut timur kamar. Seluruh ruang timur diselubungi dengan kabinet rak
buku dari kayu jati mewah yang menutupi hampir separuh dinding kamar. Ia
mengisi penuh segala dokumen, fail-fail kerja dan buku-buku ilmiah
miliknya. Ruang jendela kaca bernada suram yang meneroboskan serakan
cahaya tersusun luas menghadap seluruh ruang dinding barat. Terletak set
sofa bercitarasa Inggeris yang lengkap di antara dua dinding itu,
bersama pintu masuk dari kayu kukuh yang dibina di dinding perantaranya.
Hampir semua sudut dilimpah dengan keutuhan warna coklat kayu jati yang
memenuhi keseluruhan ruang. Warna kelabu lantai berkarpet tebal itu
ikut memewahkannya
Meja
kerja yang melengkung huruf L itu ditempah khas binaan kayu nyatuh yang
utuh dari luar negeri. Permukaannya bersadur kaca padu yang tebal
dengan deretan ukiran-ukiran klasik gothic bersulam penuh di setiap bucu
meja. Kaki empat sudutnya juga melengkung dengan gaya klasik serta
bersulam dengan ukiran yang senada. Tampak mewah! Dipermukaannya
tersusun kemas sederet rak tiga tingkat dengan dokumen-dokumen pejabat
yang tersusun kemas di sebelah kiri. Peralatan alatulisnya tercegat kaku
di sudut kanan bersama minuman yang disediakan oleh kak Maznah tadi. Di
ruang tengah hadapannya pula terletak dokumen tugasan bersama buku
temujanji hariannya siap untuk dirujuk.
Hadilla mendengus lemah. Kemewahan ruang yang terhidang dihadapannya tak mampu menenangkan jiwa yang bergelora.
“Pergilah
Ila menjenguk. Dah begitu lama orang tua tu terkedang kaku di hospital
itu. Nampaknya seperti masanya sudah tak lama!” Terdengar sayup-sayup
suara Mak Long membujuknya malam tadi mengegar di nubari
“Saya
dah cukup baik melayan dia rasanya Mak Long. Dah tempahkan kamar yang
khas untuknya di wad pertama. Siap membayar semua keperluan. Malah ada
jururawat khas dibayar menjaga. Itu dah cukup baik jika membandingkan
apa yang dilakukannya pada umi dan kami adik-beradik dulu.”
“Ila masih menyimpan dendam? Dendam itu akan membakar diri, Ila. Harus dijauhkan!”
“Saya tak mampu menjengah wajahnya Mak Long... terlalu luka!”
Wajah
Mak Long Saanah memenuhi ruang nubari. Adik umi yang berbakti menjaga
mereka dan gemulah umi selama ini. Membalut luka mereka yang tercedera,
setelah bubarnya tanggungjawab lelaki yang bernama ayah. Peneraju
semangat hidup mereka sehingga berjaya ke hari ini. Bakti yang tak
terluhur seumur hidup. Mak Long Saanah tahu apa yang mereka hadapi. Apa
yang gemulah umi tempoh dengan jiwa yang lara. Bagaimana dia, tiga
beradik mengaut hidup muda dengan penuh trauma. Mak Long saksi segala
sengsara. Namun kini dia didesak agar menyibak luka itu kembali. Dia tak
sanggup! Mak Long tidak mengerti!
Hadilla
mengeluh lemah. Jam mewah yang berpaut kaku di sudut atas pintu masuk
dijerling tipis. Detak locengnya yang bergegar gagah melupus seketika
fikiran yang kacau. Tepat waktu tengahari. Di luar sayup-sayup terdengar
keriuhan dari suara para kakitangannya. Mungkin semuanya sibuk bergegas
untuk keluar makan tengahari. Tampak sungguh lama perasaannya terjera
di ruang biliknya itu. Sepanjang pagi dia tak dapat membereskan apa-apa
kerja pun. Hanya melamun melayan hati kacau. Jiwa tambah pusang.
“Pergilah
Ila. Siapa pun dia, dia tetap seorang ayah yang tak dapat dicari ganti.
Darahnya mengalir di setiap gerah tubuhmu. Tak dapat di kecuali!”.
Suara bujukan Mak Long Saanah bergiang terus di halwa telinga. Seakan
menekan-nekan dadanya yang tak kuncup debar. Hadilla meneguk rakus air
mineral yang digapai dari sudut kanan meja. Cuba menyiram kepedihan
dalam debaran hati. Mohon diberi ketenangan minda.
Wajah
gemulah umi yang dipotret indah di sudut dinding kamar, ditatap dengan
batin yang kelam. Senyum umi yang menggoyah rasa, seakan penyejuk
semangat. Hanya itu kenangan wajah umi yang diabadikan. Potret yang
ditempah khas dari pelukis tersohor itu seakan hidup dalam bingkai besar
bersadur rona emas. Sepasang mata bundar umi beralis indah penuh
tarikan. Sinar mata itu yang menyimpan lara sampai mati.
Umi
sudah banyak berkorban. Sejak kecil mereka tidak pernah hidup dalam
kesenangan. Penuh pahit dan getir. Terutamanya ketika ayah tidak
henti-henti membuat onar. Ketika itu mereka hidup di sebuah pondok kecil
milik nenek kepada umi. Di rumah pusaka itulah mereka membesar dan umi
mendidik budi pekerti.
Umi
amat cekal jiwanya. Pelbagai kerja dilakukannya untuk menyempurnakan
mereka dan membakti pada nenek yang sudah melarat tua. Siang umi
berkerja di dusun pusaka milik keluarga. Adakalanya dia mengambil upah
membasuh kain dan masuk ke rimba mencari herba terpilih yang
mendatangkan duit. Malam pula, dia tidak pernah putus menjahit baju pada
yang tekun mengupahnya. Jahitannya begitu halus sekali dan tiada
tandingan di kampung mereka.
Ayah
pula jarang menampakkan muka. Sejak kecil mereka tidak pernah dilayan
seadanya. Tidak bertanya khabar dan bertegur jauh sekali. Dia pulang
hanya tika ingin berkehendakkan sesuatu dari umi. Justeru hanya untuk
melunas hati perut. Umi selalu parah diperlakukannya. Raungan umi
membuatkan mereka adik beradik saling menangis berpelukan mengincar lara
malam. Tamparan, herdikan dan pukulan ayah pada ummi membesarkan mereka
dalam naungan trauma.
Hadilla
masih ingat segala kemuncaknya hidup mereka di rumah pusaka nenek itu.
Ketika itu dia hanya 4 tahun. Malam itu ayah pulang lagi membuat onar
kepada mereka. Umi di pukul teruk dan kepalanya dihantuk keras ke lantai
papan. Nenek yang cuba melerai di tolak ke luar tangga kayu yang curam
hingga sampai ajalnya. Kak long yang cuba membantu umi, dihentak kayu
api di kaki kanan sampai capek hingga kini. Ayah bagai dirasuk syaitan.
Dia dan adik hanya saling berpelukan memandang, tanpa mampu berbuat
apa-apa. Dan ayah menghilang lagi bersama barang yang dirampasnya.
Esoknya
suasana suram mengelilingi mereka. Gemulah nenek di kebumikan dengan
sepenuh pilu di hati umi. Ibunya tewas ditangan suaminya sendiri. Namun
umi tidak pernah kalah pada takdir yang menimpa. Umi terus bangkit.
Bekerja tak behenti-henti seakan tidak menghiraukan lelah diri. Terus
menbimbing mereka tampa gundah. Senyum tetap mengukir biar luka terus
mencarik. Hanya tuhan yang tahu hati umi penuh duka sengsara. Ayah pula
terus menghilang tidak pulang-pulang lagi. Mungkin sudah dapat apa yang
dicitanya. Mereka aman buat seketika.
Damai
itu tidak lama. Hidup mereka bergolak lagi dikala rumah pusaka umi
didatangi sekumpulan orang yang mencari ayah. Rusuh di wajah umi tampak
tambah getarnya.
“Kita
harus pergi, nak. Kita harus tinggalkan tempat ini. Bersiaplah!”. Nada
tenang yang berkisah diwajah umi mengkagetkan mereka. Mata umi yang
berkaca menyulam derita pasti diingat mereka seumur hidup.
Mereka
bergegas membungkus segala pakaian dalam selonggok kain yang besar.
Segala keperluan sekolah juga tak lupa dicapai. Umi mengaul segala lauk
yang dimasak ke dalam periuk nasi yang besar dan turut melonggok ke
dalam sehelai kain batik untuk di gendong. Mereka meninggalkan rumah
itu. Kak long dengan longgokan kain baju. Dia yang menjinjing sang adik
yang terkapai-kapai mengikutinya. Umi dengan gendungan periuk di
pangkuan. Mereka berjalan tanpa menoleh.
Umi
bertangis esak di sepanjang jalan. Tika itu hujan turun agak lebat,
berpusar-pusar menyirami tubuh mereka. Airmata umi jatuh bergulir
bersama rintis hujan ke seluruh wajah. Mereka basah kuyup lalu
berlindung di parkin bas dipinggir kampung. Dari jauh dia nampak rumah
pusaka nenek di runtuhkan orang. Dusun umi ditarah semuanya. Musnah
begitu sahaja.
“Mengapa
mereka runtuhkan rumah kita umi? Kenapa kita kena keluar?” suara
kecilnya penuh kaget meminta penjelasan umi. Umi terus termenung. Kak
Long pula tak henti-henti berisak tangis menyapu air mata dengan tangan
baju. Suasana begitu suram. Pertanyaan kecilnya tidak berjawab. Adik
memeluknya dari belakang menahan gigil kesejukan. Umi meraih adik dalam
pelukan lalu meraungkan tangis lagi. Dia terpaku tidak mengerti.
Ternyata dia terlalu kecil benar waktu itu untuk memahami arti lara.
Sepanjang
malam, mereka sekeluarga bermalam di situ. Makan nasi bergaul lauk
seperti rojak dari periuk nasi gendungan umi. Mulut kecil mereka disuap
umi satu persatu dengan penuh sayu. Umi masih bertekad tenang. Lalu
dalam gerimis malam yang membasah, mereka tidur berpelukan dalam
pangkuan umi, menahan gigil sejuk. Sehinggalah Mak Long Saanah datang
menjemput mereka di parkin itu. Ajak ikut hidup bersamanya di kota besar
ini. Melayar hidup baru yang lebih sempurna.
Setelah
dia meningkat remaja, barulah pertanyaan masa kecilnya terjawab. Kaki
Kak Long yang jadi capek dipukul ayah. Geran pusaka nenek yang dirampas
ayah lalu di gadaikan pada pemiutang. Tanah dan rumah nenek dirampas
juga atas ulahnya. Ayah membuatkan umi hilang segalanya. Ayah juga
membunuh nenek yang tidak berdosa. Ayah terlalu kejam!
Hadilla
menyapu air mata yang bergulir pada kedua belah pipi. Sedan kecilnya
meluruh segala kesedihan hati. Kenangan itu terlalu pahit untuk ditelan.
Sungguh kelat untuk di kenang. Kisah pertemuan semula dengan ayahnya
kini mengincar-incar hatinya tambah hancur. Luka lama berdarah kembali.
Kenapa ayah harus muncul lagi, merobek hati mereka ke gaung yang dalam?
Kenapa dia mencari mereka lagi? Mereka tak perlukan pertemuan ini! Tidak
idamkan sama sekali!
“Puan,
kami nak keluar ni untuk makan tengahari. Puan nak kirim apa-apa? Puan
ok ke?” Teguran kak Maznah, setiausahanya di balik pintu bilik,
membuatkan lamunannya mati andar. Hadilla cepat-cepat menyeka air mata
yang membasah di pipi.
“Takpe lah, kak Maznah. Saya pun nak keluar ni. Tak balik lagi petang nanti”
“Baiklah
Puan. Saya pergi dulu ya!” kak maznah tergegas berlalu seraya menutup
pintu kayu kukuh itu penuh teliti. Seakan gugup melihatnya dalam emosi
yang seperti itu. Tampak aksi yang salah tingkah.
Hadilla
merapikan solekan di mata. Kunci kereta di genggam dari atas meja
lantas mencapai beg tangan di laci kanan. Dia mahu keluar dari ruang
yang melemaskan itu. Lari menenangkan diri.
*****
Kereta
dipandu meluncur laju di jalanan. Hadilla masih termangu-mangu
mengemudi tanpa arah tujuan. Dia mati kutu. Fikirannya menerawang entah
ke mana. Tingkap sisi keretanya dibuka bersama deru aircon yang masih
terus melancar di ruang dalam. Angin yang deras menyibak-nyibak wajah
dan rambutnya yang terurai. Angin juga mengibar-ngibar baju kurung hijau
daun pisang yang dikenakan. Turut menyelak-nyelak lengan baju bersulam
rajut di tangan kiri yang memegang kemudi. Sehingga parut itu jelas
ternampak
“Apa
yang kau nak tenguk sangat ha! Suka sangat nak tenguk! Kau kemari sini.
Aku tunjukkan kau yang nak tengok sangat tu! Kemari kau!”. Ayah
mengheretnya ke dalam kamar umi. Dia ditangkap mengintai ayah yang
sedang sibuk mengulung sesuatu di balik pintu kamar. Ayah membanting
tubuhnya yang kecil itu tanpa belas kasihan. Tangan kecilnya sakit
terpulas dalam genggaman tangan kekar ayah
“Sakit
ayah! Sakit! Jangan ayah! Sakit!” Raungannya memecah keheningan rumah
pusaka. Umi tiada di waktu itu, kerana sibuk membasuh baju di rumah
makcik Gayah. Nenek turut mengikut sambil menjenguk anak makcik Gayah
yang bersalin zuriat pertama. Ayah menenyeh-nenyeh puntung rokok daun
yang berbara ke lengannya sambil bergilir-gilir menyedutnya mengepul
bara. Dia meronta-ronta menahan kesakitan. Ayah tidak peduli, malah
tertawa seperti tidak siuman lagaknya. Mata ayah merah seperti dirasuk
iblis dan berkhayal entah apa-apa. Seakan terhibur melihat dirinya yang
masih kecil itu teronta-ronta menahan sakit. Peristiwa itu
berulang-ulang sehingga hampir seluruh tangan kecilnya berbirat kesan
cucuhan. Lebam-lebam di belakang tubuh kecilnya tak terkira, gara-gara
penangan sepakan kaki ayah. Terlalu kejam!
“Honnnnnnnnnn!”
Bunyi kenderaan dibelakang mematikan lamunannya lagi. Dia menekan
minyak, meluncur laju keretanya melintasi lampu merah. Airmatanya masih
merembes jatuh. Esakan halus masih menaungi isi dada. Hatinya sebak. Dia
memutuskan untuk behenti di pinggir pantai Danga yang panjang menjajar
di tepi jalan itu. Menyambut sendu hati.
Langit
yang membiru tampak suram di balik kepulan awan komulus yang putih
samar. Hadilla menenladahkan wajahnya. Membiarkan angin laut yang
bersemilir mencecah lembut ke seluruh wajah. Tak peduli bahang matahari
yang ikut menyentuh hangat kulitnya di tengahari itu. Dia nampak wajah
umi di situ. Wajah dengan senyum penyejuk yang abadi.
Wajah
tenang umi melayar di matahati. Dia masih ingat di saat umi dilanda
nazak hampir dipukul maut. Wajah umi tetap tenang. Umi jatuh ketika
mengambil wudhuk di pagi hening itu. Jeritan Mak Long Saanah mengejutkan
mereka adik beradik di bilik masing-masing. Kak Long memangku kepala
umi yang berkerudung putih bersiap solat subuh. Wajah umi tetap segar
menatap wajah mereka, adik-beradik satu persatu.
“Umi
akan pergi! Rasanya masa telah tiba. Kak Long jagalah adik-adik ya!
Jejak lah ayahmu. Maafkan lah dia. Ayahmu cinta umi yang tiada tara.
Biarpun dibalas tuba, dia tetap suami umi. Ayahmu jua. Maafkanlah dia.
Kerana umi sudah lama memaafkan..”
Umi
berlalu tanpa rengkuhan sakit. Begitu tenang. Wajah umi yang memutih
mulus persis manusia yang tidurnya dalam aman nyenyak. Senyum tetap
terukir tanda jiwa nan damai.
Hadilla
berdesah pilu. Angin yang membelai wajahnya seakan tangan umi yang
mengelus mesra. Airmatanya mengering dalam sejatan angin. Memaut damai.
“Memaafkan
itu amat indah, Ila. Contohilah umimu. Dia pergi dalam damai, kerana
ada maaf dalam hati. Tiada dendam dibawa pergi dalam jiwa”. Bujukan Mak
Long Saanah bergiang lagi. Seakan mempuput rasa
Hadilla
meneruskan pemanduannya lagi. Kereta Honda mewah itu meluncur laju di
jalan aspal yang berwap bahang matahari, lantas memasuki ruang bangunan
berwarna putih berbumbung merah yang tersergam besar di hadapannya.
Hadilla terus terpaku menatap bangunan itu. Telefon tangannya tiba-tiba
berdering.
“Kau
kemana Ila. Dia sudah nazak. Datanglah!” suara lengkingan Mak Long
mengejutkan dirinya yang kaku. Dia tersentak seperti dilanda halilintar.
Bagai mendapat semangat baru, dia keluar dari perut kereta lantas
berlari anak memasuki ruang bangunan itu. Ke wad kelas pertama
Hadilla
melihat Mak Long saanah di ruang menunggu. Di tangannya memaut surah
kecil yasin sambil mulutnya berkumat kamit mengalunkan ayat suci itu.
Hadilla melangkah perlahan ke arahnya. Maklong berdiri menatapnya dengan
mata berkaca.
“Akhirnya, kau datang juga iIa!”, ucap Maklong perlahan. Ada haru pada nada suara itu.
Hadilla memeluk Maklong erat. Seakan mahu melepaskan segala gemurat hati. Air matanya merembes lagi tanpa lelah.
“Ila!”.
Terdengar
panggilan untuknya dari arah belakang. Hadilla menoleh. Dilihat Kak
Long terjengkot-jengkot dengan kaki yang capek itu, melangkah ke arahnya
penuh sayu. Kaki capek ulahan ayah. Bibirnya menguntum senyum haru.
Tangan kanan menjinjing sang adik yang turut ikut serta. Adiknya yang
belajar di Amerika itu seakan muncul mengejutkannya. Bilakah dia pulang?
Hadilla terpana. Mak Long Saanah mengucap alhamdulillah dalam hati.
Mereka adik beradik seakan berjanji untuk berkumpul di sini.
“Kita
akan sama-sama menempuhnya, Ila! Kita akan sama-sama tunaikan hasrat
umi!”. Kak Long berucap tegas. Seakan memberi semangat kepada mereka
adik beradik. Tangan mereka berpaut erat dalam genggaman padu.
“Kak Long sudah memaafkan?”
“Kita
cuba memaafkan. Demi umi!”. Airmata bergulir di pipi kak Long. Adik
sudah tersedu tangis. Maklong juga masih menangis haru.
Mereka
menyelak daun pintu putih wad kelas satu itu dengan jiwa yang sengaja
didamaikan. Debaran masih penuh mengisi dada. Terlihat seorang tua
terbaring lesu di atas katil serba putih. Wajahnya terlihat amat tua
menanggung derita jiwa. Mata tua itu menatap mereka dengan kebil-kebil
tidak percaya. Ada gurasan kesal penuh diwajahnya. Mata tua itu
berkaca-kaca
“Anakku! Maafkanlah ayah! Maafkan ayah!”
Suara tua itu beringis bercampur sendu. Penuh derita. Mereka adik beradik mengamit haru. Airmata pecah di setiap wajah
“Ayahhh!”
By:Icha yulianae
Email:ichayulianae@rocketmail.com
Fb:icha yulianae
Twitter:@ichayulianae
Tidak ada komentar:
Posting Komentar